Syukur kepada Allah SWT kerana dengan taufiq dan inayah-Nya, telah memberi kesempatan kepada kita semua untuk terus hidup hingga saat ini.
ALLAH SWT yang Maha Berkuasa telah menciptakan sistem alam cakrawala yang begitu kompleks, khasnya untuk keperluaan hidup makluk-Nya di bumi ini dan juga untuk mukminin dan mukminat membina masa depan yang kekal abadi di akhirat. Dari peredaran serta pusingan planet Bumi, bulan dan bintang-bintang itu maka wujudlah perkiraan masa atau zaman, dua belas bulan dalam satu tahun. Empat dari dua belas bulan itu dinamakan Bulan Haram, yang dihormati, mengandungi kemuliaan dan kelebihan yang tersendiri.
Firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 36,
Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi; di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu ( dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.
Rasulullah S.A.W. menerangkan nama-nama bulan Haram itu dalam sabda baginda (daripada Abu Bakrah):
Sesungguhnya zaman itu berputar semenjak mula-mula Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan; daripadanya empat bulan haram, tiga daripada empat bulan itu berturut-turut iaitu Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan iaitu Rejap di antara Jamadi dan Sya'ban.
Sesungguhnya amatlah besar ganjaran pahalanya bagi mereka yang beramal ibadat dalam empat bulan haram tersebut; sebaliknya amatlah besar dosanya mereka yang melakukan peperangan atau pembunuhan, kemungkaran, maksiat dan seumpamanya. Larangan berperang dalam bulan-bulan haram tersebut telah berlaku dari semenjak zaman Nabi Ibrahim a.s. dahulu. Dalam bulan Rejab, orang-orang Islam sedang mengerjakan ibadat umrah, manakala dalam bulan Zulkaedah dan Zulhijjah orang-orang Islam sedang mengerjakan ibadat haji (termasuk dalam perjalanan pergi) dan bulan Muharram pula dalam perjalanan balik dari ibadat haji. Firman Allah lebih lanjut bahawa berdosa besar bagi mereka yang melakukan peperangan dan pembunuhan dalam bulan-bulan Haram ini disebut dalam Surah Al-Baqarah, ayat 217.
Disamping empat bulan Haram tersebut, Allah S.W.T. telah memberi keistimewaan dan kelebihan ganjaran pahala bagi umat Islam yang mengerjakan amal ibadat dalam bulan Rejab, Sya'ban dan Ramadhan. Sabda Rasullullah S.A.W. bermaksud: " Rejab adalah bulan Allah S.W.T. , Sya'ban adalah bulanku (Rasulullah) dan Ramadhan adalah bulan umatku."
Para ulama menafsirkan Hadis Rasullullah S.A.W. itu sebagai berikut:
dalam bulan Rejab, umat Islam seharusnya berusaha bercucuk tanam; dalam bulan Sya'ban pula hendaklah bekerja memberikan baja dan menyirami air pada tanaman itu; manakala dalam bulan Ramadhan pula umat Islam menuai hasil tanaman mereka. Tegasnya, banyakkan ibadat dalam bulan Rejab, ditambah banyak lagi dalam bulan Sya'ban dan lebih banyak lagi dalam bulan Ramadhan. Inilah projek pembinaan untuk pemilikan syurga di akhirat kelak.
Akhir kata, saya menyeru pada diri saya sendiri dan semua umat Islam sekalian semoga kehadiran bulan Rejab, Sya'ban dan Ramadhan pada tahun ini akan dimanfaatkan sebaik-baiknya. Insya-Allah...
No comments:
Post a Comment