Pages

Thursday, 2 February 2012

Qada Solat Hukumnya WAJIB

Solat ialah suatu kewajipan dalam Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim yang mukalaf. Allah s.w.t menegaskan hal ini dalam firman-Nya yang bermaksud:
"Kemudian  apabila kamu selesai mengerjakan solat maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu berasa tenteram (berada dalam keaadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang yang beriman, yang ditentukan waktunya." (Surah al-Nisa' 3: 103)

Syukur ke hadrat Ilahi yang telah melimpahkan taufik dan hidayah kepada tuan sehingga diberi kesedaran untuk mengqada semula solat yang ditinggalkan dahulu.

Mengqada kesemua bilangan waktu solat fardhu yang ditinggalkan hukumnya adalah wajib. Berusahalah sedaya mungkin melangsaikan "hutang" solat tersebut dan berilah tumpuan khusus dan perbanyakkan masa untuknya.

Adapun jika tidak mengetahui dengan tepat hendaklah diqada menurut bilangan yang paling hampir sangkaan. Hendaklah berusaha memastikan sekadar termampu sekalipun tidak dapat menentukannya dengan tepat.

Meninggalkan solat sama ada terlupa, tertidur atau sengaja, WAJIB BERTAUBAT bersungguh-sungguh kepada Allah s.w.t. Taubat akan diterima sekiranya memenuhi syarat-syarat iaitu;
1) Berazam tidak akan meninggalkan solat dalam apa jua keadaan,
2) Menyesal atas segala perbuatan maksiat khususnya solat yang ditinggalkan,
3) Bertekad tidak akan mengulangi pada masa akan datang.


Jika solat yang perlu diqada terlalu banyak, maka harus ditangguhkan dahulu solat sunat rawatib (solat sunat mengiringi solat fardhu), yakni didahulukan solat qada agar dapat diselesaikan secepat mungkin. Malahan ada ulama yang melarang melakukan solat nafilah walaupun satu rakaat sebelum tanggungan solat wajib diselesaikan secara keseluruhan. (Al-Wasail, jil. 4,hlm.248)

Wajib bersegera dalam mengqada solat menurut sepakat ulama sama ada solat itu terluput kerana uzur ataupun tidak uzur. Menurut pendapat ulama Syafi'iyyah, sunat menyegerakan qada bagi yang terluput  kerana uzur seperti tertidur atau terlupa , dan wajib disegerakan hanya jika terluput solat tanpa uzur. Paling sahih menurut ulama Syafi'iyyah ialah kedua-dua hal di atas harus disegerakan berdasarkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku." ( Surah Taha 20: 14).
Sungguhpun begitu, melewatkannya setelah masuk waktu adalah satu kemaksiatan yang wajib dihilangkan dengan menyegerakannya.

Masa untuk mengqada tidak ada batasannya iaitu bila-bila masa hatta waktu haram solat pun boleh dilaksanakan juga. Ini menurut pendapat mazhab Maliki, Syafi'i dan Hanabi.

Wajib mendahulukan qada solat yang ditinggal tanpa uzur daripada solat tunai ( solat pada waktu tersebut ) sekiranya tidak dikhuatiri habis waktunya.

Tetapi sekiranya solat qada yang tertinggal itu kerana uzur maka hanya sunat sahaja mendahulukan qada daripada tunai. Wajib mendahulukan qada solat yang ditinggal tanpa uzur daripada solat yang ditinggalkan dengan uzur. Wajib mendahulukan qada solat yang ditinggalka tanpa uzur dari solat sunat rawatib. Sekiranya solat qada yang ditinggalkan itu kerana uzur, maka hanya sunat sahaja mendahulukan solat qada daripada solat sunat rawatib.

Disunatkan mengqada solat mengikut tertib waktu solat seperti diqadakan solat Zuhur sebelum Asar dan seterusnya. Malahan tertib itu sunat diberi perhatian walaupun waktu-waktu qada solat itu diselangi atau terputus oleh tempoh masa yang lama.

Hutang tetap hutang. Biarlah kita mengalami sedikit kesusahan demi mengqada solat yang tertinggal, semoga Allah s.w.t menerimanya. Tidak ada daya upaya selain Allah.



Petikan dari Majalah SOLUSI (Isu No.25)
Soal Jawab Solat
Oleh : Ustaz Fadzli Al-Yamani

No comments:

Post a Comment